BERANI GAGAL



Cyberjaya . 3.8.2022

Tuan-tuan yang mulia, Pagi tadi, saya berbincang dengan kawan-kawan. Kami tengok statistik di mana 70 % daripada pelajar lepasan SPM tidak sambung belajar. Tapi bila difikirkan balik, sewaktu saya sekolah dahulu, memang ramai kawan-kawan yang tak sambung belajar selepas SPM.

Ada dua cara belajar iaitu pergi ke kolej dan universiti sementara yang lain sambung belajar juga iaitu bekerja dalam industri. Tapi topik yang hendak dibincangkan ialah ‘Berani Gagal.’

Tiada perkataan ‘gagal’ dalam perbendaharaan kata dan juga di dalam minda saya. Kalau kita tidak dapat capai apa yang disasarkan atau apa yang kita ingini, ia tidak dianggap sebagai satu kegagalan. Ia hanyalah satu keputusan atau result semata-mata.

Contohnya, bila kita menduduki peperiksaan tetapi tidak memperoleh markah yang diingini. Apakah kita gagal? Tidak! Mungkin kita dapat markah ‘F9’ yang mana orang panggil gagal.

Tetapi ‘F9’ adalah lebih baik daripada mereka yang langsung tidak menduduki peperiksaan itu. Cuma kita nak fahamkan, kenapa orang takut mencuba? Apakah mereka berani menempuhi apa yang kita fahami sebagai kegagalan?

KEGAGALAN DAN SEBAB-SEBABNYA

Kegagalan ini menyebabkan frustration. Kalau hendak dikatakan, saya ini berani untuk gagal hingga berkali-kali. Kalau kita baca dalam mana-mana buku motivasi, kegagalan bagi pakar-pakar motivasi ialah kegagalan untuk melibatkan diri dalam sesuatu perkara.

Tapi perkataan gagal atau failure ini sebenarnya adalah satu proses yang menjadikan kita lebih bijak dan hebat di masa yang akan datang. Sebab, tanpa melakukan kesilapan, maka kita tidak boleh belajar dengan cara yang terbaik.

Cara terbaik ialah melakukan kesilapan ketika melakukan usaha seperti perniagaan. Apabila kita gagal untuk melakukan tindakan yang paling minima, secara bahasa umumnya kita gagal. Tetapi sebaik sahaja kita sedar bahawa kita gagal dalam berbuat sesuatu, apakah tindakan kita? Kita perbaiki sahaja kegagalan itu.

PENGALAMAN KEJAR LEMBU MASUK HUTAN

Sebelum saya usahakan Malakat Mall, banyak benda lain yang saya buat sebelum itu di mana orang akan lihat ia sebagai gagal. Saya pernah menternak lembu. Bukan pun saya hendak sangat mengusahakannya.

Selepas saya berhenti kerja dari sebuah syarikat, saya ambil lesen kejurulatihan dari Amerika di samping buat macam-macam benda termasuk IT. Tetapi ada seorang kawan yang bawa sebuah kertas cadangan mengajak saya menternak 150 ekor lembu.

Saya kata, ‘Manalah saya reti jaga lembu.’ Tapi dia kata, dia yang akan usahakan ternakan itu. Maka saya setuju. Lembu ini bagus juga. Bila Hari Raya Korban, tentu ada permintaan. Bila dia datang beria-ia dan saya pun nak bantu, dan melaburlah sekitar RM100,000.

Tapi selepas 3 bulan dia tak mahu usahakan. Terpaksalah saya belajar bela lembu, Bukan saya hendak sangat bela lembu. Tanah yang gunakan itu adalah tanah TOL. Baru sebulan ambil-alih, dah dapat surat dari pemaju yang hendak usahakan tanah itu.

Pemaju suruh pindah. Saya tak boleh buat apa dan pindah ke tanah saya di Langat. Terpaksa pula pindahkan lembu. Kami buat kandang di tanah hutan dengan rakan saya, Fandi. Tapi bila turunkan lembu, lembu pula lari masuk hutan!

Masa itu ada 5 ekor lembu di dalam hutan. Bayangkan, kalau hendak tangkap lembu di luar hutan pun bukan senang. Tapi saya telah lalui proses itu. Adakah saya gagal dalam perniagaan lembu?

Bolehlah dikatakan saya gagal, tetapi saya dapat ilmu costingnya, cara menternak lembu; macam mana nak beri makan, mandikan dan sembelih serta proses melapah lembu. Saya potong rumput dan tidur dengan lembu sampai anak-anak kata, ‘Daddy love the cow more than us!’

Tapi dalam semua bisnes yang saya terlibat, saya akan belajar serba-serbi. Jadi saya tahulah. Kalau nak buat feedlot, saya akan kata tidak perlu kecuali jika hendak bela lembu untuk korban. Untuk lembu gemuk makan daging, untuk Malaysia ini kurang sesuai sebab kos makanannya terlalu tinggi.

BELA IKAN KELI DALAM TONG

Saya pernah ternak ikan keli. Saya ke MAHA di mana ada penternak yang promosi bahawa ternakan ikan keli menggunakan tong-tong besar, boleh buat duit. Saya terus beli enam tong. Siksanya.

Kalau nak tahu, bela ikan keli ini bukannya mudah. Kalau sambil-sambil buat di belakang rumah kerana tak buat apa-apa yang lain, bolehlah. Tapi kalau hendak buat secara komersial, dua minggu kena asingkan ikan mengikut saiz. Sebab bila kita hendak jual nanti saiznya tidak sama.

Bila hendak jual pula kena jual pada peraih. Peraih pula ambil dengan harga ‘potong kepala.’ Kita beri ikan makan pelet sedangkan orang lain beri macam-macam makanan. Tapi harga tetap sama. Masa itu RM3 sekilo dan saya ada 2,000 ikan keli dalam 6 kolam ikan. Apakah saya gagal?

JUAL NASI LEMAK TEPI JALAN

Saya buat nasi lemak tepi jalan sampai ada lebih 20 kios sebab hendak bantu orang tiada modal buka perniagaan. Kita beri duit, masakkan nasi, pinggan mangkuk pun kita belikan untuk mudahkan yang berniaga terus buka kedai.

Masa itu arwah Aziz Desa TV9 suka dengan konsep saya dan masukkan cerita saya dalam TV9 pada setiap minggu. Saya panjat ke pejabat-pejabat Majlis Perbandaran dengan harapan hendak bantu orang kita. Lesen memang tak ada. Akhirnya gerai kena sita dan kena saman. Apakah saya gagal?

Gagal juga, tapi apakah saya berhenti dari membuat bisnes baharu? Saya tak berhenti. Kalau hendak diceritakan, saya dah gagal berkali-kali. Tapi saya berani gagal dan gagal lagi. Bagi orang lain, mereka berkata saya rugi. Sepatutnya saya simpan duit itu dan jangan buang begitu.

SEMUA HARTA BUKAN KITA YANG PUNYA

Tuan-tuan yang mulia, Duit ini bukan milik kita. Pendapatan yang berupa rezeki dan harta ini kesemuanya bukan kita yang punya. Semua ini ALLAH yang punya. ALLAH beri pada kita untuk menilai apa yang kita buat dengan duit ini.

Pada fikiran kita duit hanyalah untuk simpan dan kayakan diri untuk jaga keluarga kita sahaja. Jika ada lebih, baru kita beri pada orang dengan harapan, kita dah buat yang terbaik di dunia. Tiba-tiba bila mati dan masuk kubur, kita nak minta syurga ALLAH. Apakah kita sudah layak?

Sedangkan para sahabat Nabi saw tidak menyimpan apa pun harta. Jika Nabi saw dihadiahkan tiga gunung emas, dalam masa tiga hari juga Nabi saw akan habiskan. Sebabnya, orang beriman ini tidak disuruh untuk menyimpan.

Sebaliknya mereka bersandarkan keyakinan kesemuanya kepada ALLAH swt. Bukan salahnya untuk menyimpan. Tapi dalam konteks hari ini, kita jangan sekadar menyimpan semata-mata untuk memperbanyakkan harta.

Sebaliknya kita melabur untuk membina kekuatan umat, bukannya kekuatan diri sebab diri bukan guna banyak pun harta itu. Sampai ke satu tahap, kita pun dah tak boleh makan banyak. Nak makan dua pinggan itu pun kadang-kadang sahaja boleh. Maksudnya, keperluan kita ini tak banyak pun.

Keputusannya ALLAH yang pegang. Jadi, kegagalan di dunia ini hanya menurut neraca ALLAH sahaja. Neraca dunia ada pelbagai. Ada yang berkata kita berjaya, ada yang kata dia ini scammer, dia ini baik, dia ini jahat.

Kita tak boleh kawal manusia. Lagi pun, kita pun manusia juga. Tetapi kita bukan robot yang tiada perasaan. Kita punyai artificial intelligence yang terbina di dalam diri. Jadi jangan banyak sangat terkesan dengan kegagalan.

HAKIKATNYA, KITA TIDAK DAPAT KUASAI DIRI

Ramai yang bertanya bila saya hendak beri dividen. Terdapat juga bekas staf yang tidak faham dengan kedudukan kewangan. Saya bukan berniaga semata-mata kerana hendak berniaga untuk buat duit bagi diri saya. Jika begitu saya dah boleh berehat.

Tak perlu bersusah payah. Tapi, kalau saya buat begitu, maka saya tidak faham lagi peranan saya di dunia ini. Sebab itulah dalam konteks ‘gagal’ ini Tuan-Tuan Yang Mulia, jangan kita nilaikan kegagalan mahupun kejayaan dengan pencapaian kita.

Pencapaian itu adalah pencapaian. Tetapi gagal atau berjaya hanyalah keputusan. Setelah memperoleh keputusan, kita boleh kaji semula, ubah dan tambah baik. Kalau dahulu kita bekerja 8 jam. Esok kita hendak kerja 10 jam. Kalau boleh, minimanya 12 jam. Yang terbaik ialah 16 jam.

16 jam itu sebenarnya adalah kerja agama. Hari-hari kita berdakwah, hadiri majlis taklim, solat berjemaah. Kalau dapat berjemaah pada setiap waktu, itulah yang terbaik. Jadi maksudnya, kita jangan risau sangat dengan kegagalan.

Sebab kita tiada langsung dapat menguasai diri kita! Kalau pun kita kata yang kita boleh kawal diri kita, ia hanya sedikit iaitu tindakan kita. Itupun kerana ALLAH beri kepada kita kuasa mengawal itu.

Dalam keadaan biasa, kita boleh kawal tindakan dan reaksi kita. Macam mana kita bertindak daripada sebarang keputusan. Kita boleh ambil keputusan untuk tidak meneruskan sesuatu tindakan. Tapi kalau dah gagal, iaitu berkali-kali tidak dapat keputusan yang diingini, kita kenalah ubah strategi. Kaji di mana yang silap.

MALAKAT MALL DAN CABARAN PKP

Saya cerita sedikit fasal Malakat Mall. Banyak orang tak faham dan tak tahu. Saya tak salahkan mereka yang tidak faham. Kita sebenarnya tersepit. Saya tak boleh hendak beritahu, sebab koperasi ini bukan milik saya.

Saya dan Toqqi(Ketua Aktivis PPIM) yang mulakan. Bila kami bergabung, kami dapat 28,000 ahli dalam masa tak sampai setahun. Memang kebanyakan yang masuk KoPPIM adalah kerana Toqqi atau sebab saya atau kerana kombinasi kami berdua.

Masa KoPPIM bermula, kami hanya ada 60 orang ahli sahaja. Koperasi itu tidak aktif dan tiada apa-apa. Masya-ALLAH, dengan sokongan kita dapat berkembang dan dapat lancarkan Malakat Mall.

Pada hari pertama, kedua, ketiga dan keeempat pembukaan Malakat Mall, kita rasa yang kita dah ‘made it.’ Sebab dalam masa yang pendek, kita dapat siapkan mall, buat pelancaran walaupun soft launch.

6,000 pelanggan datang pada satu hari; 24,000 orang setelah empat hari pembukaan. Jualan mencecah ratusan ribu pada hari pertama, kedua, ketiga dan keempat. Kita rasa… wow!

Alhamdulilah. Pada waktu itu, Malakat Mall hanya ada 9 kedai. Tapi, wamakaru wamakarallah wallahu khairul makirin. ‘Mereka merancang, ALLAH juga merancang. Sesungguhnya ALLAH sebaik-baik perancang.’ Apa yang jadi ialah PKP pada hari kelima.

Bila PKP dilaksanakan, kita terpaksalah reda dan terus terhimpit dengan PKP 1, 2 dan 3. Walaupun kita buat macam-macam, kita tambah kedai. Masa itu kita masih ada modal, well-funded.

KoPPIM pun sedang menambah ahli dan juga pelaburan. Saya mula dengan tunai. Tiada hutang pada masa itu. RM22 juta tunai duit saya digunakan untuk melengkapkan mall. Saya berani sebab duit ini ALLAH yang punya.

Tetapi bila berjaya, insya-ALLAH, pulangan kepada agama kita ialah agama kita bangkit dengan kekuatan ekonomi. Inilah yang saya cuba usahakan. Tapi, kalau saya tahu ada PKP mulai 17 haribulan Januari, tentu saya tak buka Malakat Mall.

Saya akan tunggu sehingga lepas PKP baharulah saya buka mall. Tapi kita tak tahu. Maka itu adalah keputusan ALLAH. Maka kita kena reda, usaha dan perbaiki lagi. Tapi oleh kerana dua tahun lebih kita berada dalam keadaan yang cukup menyukarkan, akhirnya kita kehabisan sumber.

Dah tinggal tulang yang kering-kering, umpama baru tamat perang, askar pun tinggal sedikit. Ramai yang dah terkorban. Bukan salah mereka tetapi keadaan. Kami pun banyak lagi saki-baki.

Tapi banyak yang perlu kami selesaikan seperti EPF. Ada yang kata, kalau tak bayar EPF, janganlah berniaga. Itu saya tak hendak komen. Kita buat keputusan membayar gaji pekerja sepenuhnya atau kita hendak buat potongan EPF pada waktu itu.

PELAN STRUKTUR MALAKAT MALL

Sekarang kita sedang buat penstrukturan semula untuk selesaikan semua masalah. Jadi, apakah saya berani gagal? Saya tak yakin yang saya akan gagal. Sebaliknya saya yakin yang saya akan berjaya.

Sebabnya, saya yakin ALLAH pasti jaga saya dan organisasi saya. Bila kita buat kerana ALLAH, ALLAH bersama kita. Sebab itu, dalam topik berani gagal, Tuan-Tuan Yang Mulia, bila kita berani kerana ALLAH, maka tak payah risaulah tentang kegagalan. ALLAH tak akan bagi kita gagal. Ini pasti kerana ALLAH ini kasih pada hamba-NYA.

BRAINY BUNCH DAN IMPIAN BUAT UMMAH

Saya boleh cerita panjang mengenai topik kasih. Saya ini anak yang ditinggalkan kepada satu keluarga. Keluarga ini, ayah, emak, abang dan kakak kesemuanya sayang saya walaupun bukan sedarah sedaging. Kami pun bermula tanpa apa-apa.

Dari tadika bernilai RM150,000, kini menjadi Brainy Bunch yang entah berapa nilainya. Alhamdulilah, ALLAH bantu. Setelah PKP, jumlah murid-muridnya semakin ramai. Sokongan ibubapa masya-ALLAH. Ada parents yang faham, yang belum faham. Ada yang pertikaikan apa yang saya buat itu dan ini.

Saya buat semua ini untuk keperluan organisasi, bukan tujuan peribadi. Saya dah tak perlu keperluan peribadi. Keperluan saya kini kalau ada pun membeli baju. Saya tak perlukan kehidupan yang mewah.

Saya tidak punyai possession dream iaitu impian untuk memiliki. Saya hanya ada organisation dream, jemaah dream atau ummah dream. Saya cuba nak usaha dan ajak kawan-kawan semua. Keluarlah dari zon selesa!

ZON SELESA BUNUH POTENSI DIRI

Potensi diri kita tiada had kerana ALLAH akan sediakan kesemuanya seperti kemampuan, kebolehan dan kepakaran. Jika kita tiada kepakaran, ALLAH akan hantar mereka yang pakar. Yang penting kita buat sahaja.

Samada kita hidup dalam perjuangan sampai capai kejayaan atau mati dalam perjuangan., Jangan mati sebelum mati. Pada hari ini ramai daripada kita amti sebelum mati. Kita kutuk orang itu, kata orang ini, akhirnya kita tiada apa-apa dan tidak ke mana-mana.

Kalau kita ada duit, ia bukan pun kita yang punya sehinggalah kita membelanjakannya. Duit ini hanyalah persinggahan sahaja. Kita nak gunakan untuk apa, untuk siapa, untuk kenapa? Ini soalan-soalan yang harus ditanya.

KISAH TUKANG KAYU TIDUR DENGAN MAYAT

Tadi saya baca satu posting sebuah kisah seorang kaya yang berwasiat, sesiapa yang boleh menemaninya selama 40 hari di dalam kuburnya setelah dia mati, dia akan berikan semua hartanya.

Apabila orang kaya itu mati, seorang tukang kayu tampil menawarkan diri kepada keluarga si mati. Lalu dia tidur di kubur bersama dengan mayat orang kaya itu. Bersama-samanya dia membawa sebilah kapak kerana ia satu-satunya harta yang dia ada untuk mencari rezeki.

Di dalam kubur, bukan orang kaya itu sahaja yang terpaksa menjawab soalan Munkar dan Nakir. Tetapi tukang kayu itu turut ditanya pelbagai soalan tentang apa yang dibuat dengan kapaknya, di manakah tempat dia menebang pohon kayu, kayu apa yang dipotongnya, kepada siapa dijual kayu-kayu itu. Setiap hari, dia terpaksa menjawab pelbagai soalan Munkar dan Nakir.

Pada hari yang ke-40, si tukang kayu itu lari keluar dari kubur. Lalu dia berkata kepada ahli keluarga orang kaya itu yang dia tidak mahu terima apa-apa harta. Katanya, sedangkan sebilah kapaknya sahaja sudah menimbulkan macam-macam soalan malaikat, inikan pula jika dia mendapat seluruh harta orang kaya itu.

BANYAK HARTA SEBAGAI UJIAN

Bayangkan, kita yang punyai harta, jika ditanya apa yang kita buat dengan harta yang banyak? Apa yang ALLAH beri ini digunakan untuk apa? Untuk agama atau untuk diri kita sahaja? Jika pun kita menyimpan harta, ia untuk buat apa dan untuk siapa?

Bila kita mati sudah tentu kita tinggalkan segala harta. Bila kita duduk dalam zon selesa, kita jangan takut; takut untuk melabur sebab takut rugi. Takut beli, takut berniaga. Takut itu, takut ini, Orang yang tak berani ambil risiko adalah seperti orang yang mati sebelum mati.

Jadi saya nak mengajak semua; jom berani untuk gagal sebab gagal itu sebenarnya bunyi macam negatif tetapi kita bersikap yang mana kita cuba berkali-kali dengan mengharapkan yang ALLAH akan pasti melihat kerja, usaha, niat akan tindakan kita.

Takkan ALLAH yang Maha Pengasih membiarkan kita. Tentu sekali kita lakukan juga calculated risk. Sebelum melabur, buatlah kajian asing-masing. Tapi kalau dalam hati tak boleh terima, it is okey. Cari lagi peluang-peluang yang lain.

DI AMBANG KEMELESETAN EKONOMI DUNIA

Keadaan kemelesetan ekonomi di seluruh dunia dikatakan akan berlaku, Ada yang kata, kita berada di ambang kemelesetan itu. Indikasi awal ialah apa yang berlaku di Amerika.

Pergeseran kuasa-kuasa besar seperti negara-negara BRIC (Brazil, Rusia, India dan Cina) memberi peluang besar untuk dunia mengubah sistem ekonomi yang sebelum ini hanya berkisar dan berpandukan pada dollar AS.

Tapi hari ini sudah ada alternatif yang cuba dijadikan satu pilihan. Kalau tengok pada data-data ekonomi, kita memang dah dekat sangat dengan kemelesetan ekonomi. Apa yang kita kena buat? Kajilah apa peluang yang ada. Cari semula pada yang asas iaitu iman dan akidah.

JANGAN TUNGGU LAGI

Kita kena yakin. Ini yang paling utama. Kalau yakin kita pada ALLAH, jangan tunggu semua dah cukup baru hendak mulakan. Orang beriman kena ada usaha, penambaikan semasa melakukan, improve along the way.

Tak boleh tunggu bila dah sempurna baharu hendak bermula. Sebab orang beriman tak boleh meyakini apa yang dia ada. Dia hanya boleh yakin apa yang ALLAH beri sebagai bantuan dia. Dia sandarkan kepada ALLAH. Tapi dia kena usaha yang terbaik.

Pagi tadi saya sebut dengan mesyuarat dengan MAIWP. Saya sebut, ALLAH sebut; Laqad kāna lakum fī rasụlillāhi uswatun ḥasanah. Jadi kalau kita hendak buat apa-apa pun kita kena ikut Nabi saw.

Nabi saw tanamkan iman dan yakin selama 13 tahun. Bila peristiwa hijrah berlaku ia bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi penghijrahan dari suasana yang tiada biah agama kepada tempat yang ada biah agama.

Suasana di Mekah itu tiada biah agama. Nabi pindah ke suatu persekitaran agama di Madinah. Inilah sudut hijrah yang paling penting kita fahami. Dan bila kita berada dalam biah itu, memang powerlah sebab Nabi saw dan para sahabat ada sama.


Golongan Muhajirin tinggal segala-galanya di Mekah untuk berhijrah. Golongan Ansar juga hebat pengorbanannya. Hendak berniaga, hendak tanah, mereka beri pada golongan Muhajirin.

Sebab apa? Sebab harta tidak memberi kesan pada hati mereka. Ini kerana iman. Bila beriman, datanglah nusrah ALLAH. Inilah yang kita hendak usahakan. Jadi janganlah takut untuk gagal.


TANGGUNGJAWAB KEPADA AHLI-AHLI KoPPIM


Saya cakap dalam tulisan saya, ada ahli-ahli KoPPIM yang takut kalau apa-apa terjadi yang menyebabkan Malakat Mall tidak berjaya. Katalah ia benar-benar tidak berjaya kerana kami belum layak mengoperasikannya.

Apa yang akan berlaku? Saya ambil tanggungjawab sehingga setiap sen semua ahli-ahli KoPPIM akan dikembalikan. Kalau saya mampu beri lebih, saya akan lakukan. Tapi ia perlukan masa. Dan saya yakin kita ada beberapa bulan untuk melakukan transformasi.


TRANSFORMASI MALAKAT MALL

Kita dah buat pelan transformasi Malakat. Insya-ALLAH, kita akan bentangkan dalam masa terdekat. Produk-produk dari Turki baru masuk. Itu akan menjadi satu kekuatan yang cukup besar dengan kempen yang kita akan gerakkan.

Kita telah mula gerakkan kempen Pasar Basah Cyberjaya. Tadi saya berbual dengan pegawai MAIWP. Dia suka dengan barangan yang segar. Alhamdulilah.

Tapi memang ada banyak lagi kelemahan sebab dah dua tahun lebih tidak dapat bergerak sepenuhnya kerana PKP. Tapi ada penambahbaikan. Di Malakat kita akan lancarkan PULUN 24 'Entrepreneur & Student Centre' di mana satu-satunya ruang yang boleh digunakan oleh usahawan & student yang buka 24 jam dengan fasiliti lengkap seperti kios cetak, ada internet untuk pelajar dan juga tempat bekerja disamping makanan dan perkhimatan lain. Alhamdulilah, ruang dah ada.


BANTUAN ALLAH, JANJI ALLAH

Dengarlah apa yang saya nak katakan. Saya tak takut gagal. Anda pun jangan takut gagal. Tapi mari kita sama-sama lakukan. Bila kita bersama, lagi kita tak takut kerana bantuan ALLAH akan sampai kerana bantuan ALLAH akan turun pada jemaah.

Bila kita bekerjasama, dengan matlamat yang jelas, kerana ALLAH untuk menunai dan melaksanakan kerja. Jom sama-sama kita lakukan.

Jazakallah khair. Assalamualaikum.


Yang mencintai ANDA!

Coach Fadzil

#CoachFadzil #BeraniGagal #CFGOLD #MalakatMall

13 views0 comments