Malakat Mall Terkini

Updated: Aug 3





Idea membina pasar Malakat tercetus selepas program Ayuh Bangkit ke 3 dimana saya dan rakan-rakan berusaha memberikan bimbingan perniagaan secara percuma dalam usaha untuk mengubah nasib ekonomi Bangsa Melayu.


Sektor runcit negara menunjukkan penguasaan lebih 60% pasaran oleh syarikat asing di mana kaum bumiputera hanya mampu mendapat 8% daripada nilai belanja runcit negara yang berjumlah RM 110 billion pada tahun 2019!


Antara sebab utama mengapa amat sukar untuk Bangsa Melayu berkembang adalah kerana pasar-pasar besar dimiliki oleh syarikat-syarikat asing yang kaya raya. Mall-mall atau pasaraya besar mengenakan kos yang terlalu tinggi yang berada di luar kemampuan peniaga-peniaga Melayu. Kalau pun ada yang mampu, mereka biasanya sukar bertahan dan senantiasa dipindahkan apabila terdapat tawaran lebih lumayan dari jenama-jenama luar.


Melihat kepada keperluan ini Malakat diwujudkan dengan mengambil pendekatan mengambil alih 'Mall-Mall Mati' bagi memudahkan pengwujudan 'Pasar Milik Kita' yang dibangunkan dengan konsep Pengguna Sebagai Pemilik Bersama!


Alhamdulillah! Mall pertama di kenal pasti dan saya terus berusaha untuk membina Pasar Tanpa Sewa yang tetap tetapi hanya mengambil sebahagian daripada jualan peniaga untuk mewujudkan ekosistem menang-menang dan susah senang bersama.


Pertemuan bersama Toqqi telah melengkapkan idea Malakat dengan kerjasama saya dan Kooperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KOPPIM) yang pada waktu itu hanyalah mempunyai 60 ahli tidak aktif.


Tanpa mengetahui undand-undang dan prosedur Kooperasi saya dan Toqqi melancarkan kempen mengajak pengguna untuk bersama kami di KOPPIM dan Malakat Mall. Modal permulaan saya mulakan tanpa pinjaman Bank sehingga kini telah menelan belanja lebih RM 20 juta dan KOPPIM yang telah berjaya mendapat puluhan ribu ahli telah juga berjaya mengumpul lebih RM 20 juta yang masih lagi jauh dari sasaran awal.


Kesemuanya dilihat seolah-olah telah berjaya diperingkat pembukaan dimana lebih 24,000 pengunjung hadir di 4 hari pertama pembukaan Malakat Mall Cyberjaya sebelum PKP 1 diumumkan dihari kelima. Seperti semua perniagaan di seluruh dunia, tempoh yang mencabar berniaga di dalam tempoh PKP benar-benar menyukarkan Malakat yang masih bertatih dalam industri runcit ini.


Setelah lebih 2 tahun banyak pencapaian yang baik dicapai dalam usaha mewujudkan pelbagai jenama pilihan yang setara dengan jenama syarikat-syarikat besar. Malakat Grocer, Tea Amo, Anak Jantan, Rahsia, DIY Malaya, Casa De Madani adalah antara hasil kerja keras kumpulan Malakat apabila tiada sambutan dari jemputan kepada jenama-jenama unggul orang kita untuk bersama Malakat. Malakat terpaksa membina pelbagai jenis konsep kedai yang diperlukan untuk Mall Komuniti bersaiz sederhana.


Terdapat jenama usahawan yang baru dan berusaha untuk bertahan sepeti BYSERRA dan TENUN dan beberapa usahawan yang berniaga secara kecil-kecilan sejak hari Malakat Mall dibuka.


Misi dan Visi Malakat adalah sangat penting untuk difahami dan disokong kerana ianya melibatkan kepentingan Agama, Bangsa dan Tanahair! Menjadikan pengguna sebagai pemilik ekonomi melalui model perkongsian bersama KOPPIM (sebagai pengguna) dan Usahawan membolehkan kuasa beli pengguna digunakan untuk mengagihkan keuntungan dari perbelanjaan pengguna sendiri kepada pengguna itu sendiri.


Misi mewujudkan Perkerjaan yang mampu menawarkan pendapatan minima RM 5,000 sebulan dan peluang perniagaan kepada usahawan yang mampu memberi pendapatan minima RM 50,000 sebulan kepada Usahawan sangatlah mudah dicapai jika dan bila kita berjaya mengajak 15,000 keluarga berpindah belanja runcit bulanan mereka ke Malakat!


15,000 keluarga

x

1,666.67 purata belanja runcit bulanan

=

RM 25,000,000 sasaran jualan sebulan

x

12 bulan

=

RM 300,000,000 sasaran jualan setahun


Kalau lah 15,000 keluarga dari Putrajaya, Cyberjaya, Sepang dan Puchong dapat memahami bahawa mereka dan keluarga mereka akan mendapat keuntungan dengan hanya berpindah belanja ke Malakat pastinya projek Malakat ini akan boleh dikembangkan keseluruh negara.


Kami bermula dengan apa yang kami ada. Ya banyak kelemahan dan banyak yang kami tidak tahu dan diuji pula dengan tempoh PKP yang sangat lama. Kejayaan masih boleh dicapai jika ahli KOPPIM dan masyarakat umum bersama membantu untuk manfaat bersama.


Kami kini sedang berada di fasa terakhir usaha kami untuk memulihkan Malakat daripada kesan dan impak pandemik.


Alhamdulillah, barangan dari Turkiye sudah mula memasuki Malakat sebagai suatu tawaran unik dan kekuatan yang tidak dimiliki oleh pasar lain.


Walaubagaimanapun kami sedang menghadapi situasai kekurangan dana apabila pihak SKM menghentikan sokongan KOPPIM kepada Malakat buat masa ini. Lebih 6 bulan kami disekat dengan pelbagai janji demi janji walaupun kami telah laksanakan apa yang diperlukan. Ada segelintir yang tidak memahami membuat aduan kepada SKM kononnya berlaku salah laku dalam pengurusan wang KOPPIM.


Semua wang KOPPIM tidak langsung digunakan untuk kepentingan peribadi dan hanyalah digunakan untuk membangunkan Malakat Mall Cyberjaya sahaja! KOPPIM tidak mempunyai kos operasi yang tinggi malah tidak mempunyai sewa atau kos operasi bulanan seperti organisai lain. Semua ahli lembaga KOPPIM tidak mengambil elaun bulanan walaupun satu sen.


ALK KOPPIM yang terbaru dilantik dikalangan anggota melalui AGM yang melibatkan wakil ahli seluruh negara.


Saya menulis semua ini bagi menjawab isu dividen, keresahan ahli dan juga berharap agar Menteri yang menjaga Kooperasi dapat membantu kami yang sangat tersepit.


Di awal pelancaran KOPPIM kita menyasarkan untuk berusaha memberi pulangan 8-15% dividen kepada ahli hasil dari keuntungan yang bakal diperolehi. Bila ahli berbelanja, keuntungan akan dipulangkan semula kepada ahli.


Bagaimana dapat kami jana pendapatan tanpa perbelanjaan ahli ?


Ada juga ahli yang ditakutkan akan potensi kehilangan wang mereka jika Projek Transformasi Membina Ekosistem Ekonomi Islam Malakat gagal.


Saya ingin memberi jaminan, Saya Mohd Fadzil Hashim pengasas Malakat dan Brainy Bunch akan memulangkan semula semua modal ahli jika projek Malakat tidak berjaya mencapai sasaran.


Saya rugi tidak mengapa tetapi ahli dan rakyat terbanyak tidak wajar mengambil risiko kerugian.


Kita kini dalam tempoh transformasi Malakat yang memerlukan sokongan segenap lapisan masyarakat khususnya Bangsa Melayu dan Ummat Islam.


Saya cuma pinta agar kami diberi peluang sekali lagi untuk menjadi pembekal barangan runcit keluarga ANDA!


Bagi tahu kami apa barang yang keluarga ANDA mahu dan akan kami usahakan untuk membekalkan sebaik mungkin. Sokongan, doa dan pindah belanja ANDA akan berupaya mengeluarkan Bangsa kita dari kegagalan dalam ekonomi!


Melalui program Duta Malakat ANDA juga berpeluang mendapat Komisyen dari setiap pembelian sendiri dan pembelian keluarga rakan-rakan Anda!


Kepada ahli KOPPIM yakinlah bahawa Visi dan Misi Malakat ini mampu dicapai jika semua ahli yang berjumlah 28 ribu bersatu hati dan berusaha mengajak seramai mungkin untuk berpindah belanja ke Malakat Mall dan cawangan-cawangan Malakat Grocer.


Kepada pihak SKM, Menteri dan Perdana Menteri jemput dan datanglah ke Malakat Mall untuk melihat sendiri apa yang telah kami bangunkan dan belanjakan.


Kepada warga cyberjaya, putrajaya, puchong, sepang dan yang berdekatan ayuhlah kita cuba pindah belanja runcit ke Malakat untuk bersama berusaha mencapai matlamat yang mempunyai kepentingan kepada masa depan anak, cucu kita!


Ya Allah, saksikanlah usaha kami untuk membina ekosistem ekonomi Islam yang sebenar ini!

Bantulah seluruh tenaga kerja, vendor, Usahawan, Ahli KOPPIM, Ahli Kelab Malakat dan pelanggan Malakat untuk berjaya menjadi yang terbaik untukMu Ya Allah!


Sesungguhnya kami makhluk yang tiada kuasa dan hanya Engkaulah yang Berkuasa!

Bantulah kami!


Aameen Ya Rab!


Yang Mencintai ANDA!


Coach Fadzil

Pengasas Kumpulan Malakat & Brainy Bunch

#CoachFadzil #MalakatMall






91 views0 comments