
Assalammualaikum wbt,
Kepada semua saudara se Islamku yang dikasihi,.
Namaku Mohd Fadzil Bin Hashim AKA Coach Fadzil. Tujuan aku menulis warkah ini adalah untuk mengajak semua umat Islam bersatu membantu dalam satu perjuangan yang sedang aku usahakan
Untuk mereka yang tidak mengenali diriku, sedikit latar belakang ingin aku berikan sebagai salam perkenalan. Walaupun aku tidak diberikan peluang untuk membesar bersama keluargaku sendiri, aku sangat bersyukur kerana mendapat kasih akung dan ihsan daripada ibu bapa angkatku. Sememangnya sejak kecil, aku memasang impian yang setinggi kayangan ingin menjadi kaya suatu hari nanti. Hasratku hanya satu, agar kekayaanku dapat dimanfaatkan untuk membantu mereka yang susah dan tidak berupaya dengan cara memberikan peluang pekerjaan agar mereka dapat sama-sama menikmati kehidupan yang lebih baik. Aku percaya, seharusnya, itulah matlamat hakiki kita sebagai umat Islam, harus menyasarkan kejayaan di dunia sebagai mihnah untuk menikmati kebahagiaan yang kekal di alam Akhirat. Berbekalkan semangat dan nawaitu yang satu, aku berazam untuk mencapai impianku.
Perjalanan hidupku tidaklah semudah yang disangka, banyak rintangan yang menyebabkan aku ada kalanya terpaksa berhenti di tengah-tengah persimpangan kehidupan. Namun halangan yang ditempuhi menguatkan lagi iltizamku untuk menggenggam kejayaan. Kepayahan yang ditempuhi mengajarku untuk memahami erti kesusahan dan menghargai insan yang sering saja menghulurkan bantuan. Justeru, aku sedar betapa pentingnya untuk aku capai impian itu agar dapat kubalas jasa mereka dan menolong orang lain yang memerlukan bantuan.
Sejak kecil, aku telah terdedah dengan selok- belok perniagaan. Bermula dengan membantu menjual nasi lemak pada waktu rehat di sekolah rendah, menjual sate dan sayur kampung di pasar malam sehinggalah aku menceburkan diri dalam jualan langsung dan pelbagai lagi jenis pekerjaan dan perniagaan lain sebelum umurku mencecah 19 tahun. Yang pastinya, aku belajar, aku memerhati dan aku laksanakan. Dengan izin dan rahmat Allah, banyak ilmu berkenaan perniagaan yang aku perolehi.
Ketika usiaku mencecah 23 tahun, aku berpeluang ke Kota London, menimba pengalaman pertamaku. Yang pasti, bukan untuk melancong atau berhibur, tetapi untuk mencari pengalaman, peluang perkerjaan dan perniagaan di sana. Alhamdulillah, Allah hadirkan seorang sahabat yang sanggup membantu memberikan wang untuk aku berangkat ke sana. Berbekalkan ihsan sahabat itu serta harapan untuk mencapai impian, aku menyusun langkah di bumi asing. Aku tinggal di kota London selama 6 bulan dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Menghantar surat khabar dan risalah, menjadi pelayan hinggalah mencuci tandas, semua itu telah aku lakukan. Tiada istilah malu dan jijik demi mencari rezeki, pengalaman dan demi mencapai satu impian. Aku berpegang pada prinsip yang rezeki tidak akan datang bergolek dan rezeki secupak tidak akan menjadi segantang kalau tiada usaha kita memecahkan ruyung untuk mendapatkan sagunya.
Perjalanan menuju puncak bermula apabila aku diterima untuk bekerja di sebuah syarikat IT yang memberikan aku satu platform untuk menunjukkan kemahiran perniagaanku. Kurang dari 4 tahun aku sudah menjawat jawatan Pengarah Jualan DELL Malaysia yang termuda pada ketika itu. Pencapaian itu membuatkan aku lebih fokus dan yakin bahawa aku mampu menggengam impian besar yang aku hajati sejak dari kecil.
Pada masa yang sama, aku melihat terlalu banyak cabaran yang dihadapi rakan-rakan yang berniaga. Justeru, aku bertekad untuk membantu mereka dengan mewujudkan syarikat pengedar ICT bumiputera. Sinar cahaya semakin jelas kelihatan, aku juga telah mendapat pentauliahan sebagai Jurulatih Perniagaan di Amerika. Berbekalkan sedikit modal dan pengalaman, aku terjun ke dalam dunia perniagaan dalam pelbagai bidang.
Bidang pembekalan perkakasan komputer menjadi teras dan latihan perniagaan yang menjadi minatku diperkukuh dengan pelbagai perniagaan lain. Usaha menternak lembu fidlot, ikan keli, ayam kampung, lintah hinggalah perniagaan berasaskan makanan melalui francais nasi lemak, benar-benar mengajarku realiti perniagaan yang sebenarnya.
Boleh dikatakan hampir mustahil untuk aku mendapatkan bantuan dan sokongan pimpinan kerajaan pada masa itu. Kalau tiada habuan yang ditawarkan atau jika kita bukan kalangan mereka, maka frasa “duka cita dimaklumkan permohonan anda tidak berjaya’ menjadi jawapan klise setiap kali maklum balas diterima.
Pada tahun 2008, aku nekad dan mengambil langkah berani membeli sebuah tadika dan taska di Kajang. Alhamdulillah, langkah ini menjadi titik permulaan untuk aku membentuk satu institusi pendidikan yang sebenarnya paling asas dan penting serta sangat strategik sebagai satu bentuk perniagaan.
Tahun 2010 menyaksikan kelahiran jenama Brainy Bunch yang bermula hanya dengan satu cawangan, kemudian berkembang menjadi jenama utama di negara Malaysia dengan jumlah 104 cawangan pada tahun ini. Brainy Bunch bukan sahaja di Malaysia malahan terdapat empat cawangan di Singapura, dua di Indonesia dan sebuah di GAZA yang ditubuhkan atas dasar kebajikan dan tanggung jawab sosial sesama Islam .
Pada tahun 2013 pula, Brainy Bunch mengorak langkah berani seterusnya dengan mewujudkan sekolah Antarabangsa Montessori Islam pertama di dunia yang berdaftar dengan Cambridge. Brainy Bunch menawarkan konsep pendidikan Montessori Islam dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Usaha ini semua bukannya untuk aku, tetapi untuk masyarakat dan ummah semua . Kini Brainy Bunch dengan izin Allah telah mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dengan latihan berterusan dan peluang kerjaya yang cukup luas. Rata-rata pekerja kami merupakan tulang belakang bagi keluarga mereka masing-masing. Dengan peluang ini, mereka dapat meneruskan hidup, berkongsi rasa dan nikmat dunia dan pada masa yang sama dapat menjalankan perintah agama. Ternyata tanggung jawab ini merupakan satu amanah yang sangat berat untuk dipikul. Bagi yang tidak mengetahui selok belok dan liku-liku perjalanan Brainy Bunch, mereka mungkin akan mengatakan ia sekadar perniagaan, tetapi bagi yang mengenali diriku, usaha ini adalah demi anak bangsaku dan demi agamaku.
Perjalananku masih panjang. Matlamat dan komitmenku adalah untuk menyediakan lebih daripada 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030. Bukan setakat peluang pekerjaan tetapi juga untuk mengangkat standard guru pra-sekolah dengan sasaran gaji sebanyak RM3,000. Langkah ini sebenarnya sudah bermula apabila kami menawarkan gaji minima RM1,500 untuk guru yang bertugas lebih daripada 3 tahun di samping bantuan makanan, tempat tinggal dan perubatan. Bukan itu saja, kami juga mempunyai pusat latihan guru yang berdaftar di Amerika bagi melengkapkan semua guru kami dengan Diploma In Islamic Montessori yang pertama di dunia.
Tahun 2017 merakam kejayaan kami membina kompleks pendidikan Brainy Bunch di atas tanah lima ekar di Cyberjaya dengan keluasan bangunan 184,000 kaki persegi. Kini, dengan bilangan lebih daripada 24 anak syarikat, Brainy Bunch telah menjadi suatu jenama yang mula dikenali di negara kita. Kami juga sedang membangunkan Tadika Rakyat yang memfokuskan golongan yang berumur di bawah 40 agar anak-anak mereka mampu memperoleh pendidikan awal kanak-kanak yang baik.
Adakah ini tujuan utama aku? Untuk membina rangkaian perniagaan semata-mata? Pastinya tidak! Misi utama perjuangan Brainy Bunch adalah untuk meningkatkan penguasaan ekonomi umat Islam di negara kita dan negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Niat kami bagaimanapun tiada unsur diskriminasi pada yang bukan beragama Islam sebaliknya hanyalah satu usaha yang berstruktur untuk mengecapi kejayaan seperti mereka agar setiap umat Islam ini mendapat manfaatnya. .
Raudhah Mart pula merupakan inisiatif kami bagi menyatukan perbelanjaan runcit dengan tujuan utamanya untuk melaksanakan “Projek Selamatkan Dunia” (Save The World) dengan 3 objektif utama iaitu:
Menyediakan pinjaman bebas riba kepada mereka yang layak
Menawarkan perkhidmatan kesihatan secara percuma
Menyediakan pendidikan pada peringkat universiti secara percuma.
Di samping itu Raudhah Mart juga memberikan peluang kepada peruncit-peruncit yang sedia ada untuk duduk di bawah satu jenama bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka. Yang kami perlukan ialah sokongan daripada masyarakat untuk hanya menukarkan perbelanjaan barangan runcit sedia ada dengan membeli di Raudhah Mart. Sasaran kami ialah memiliki 1000 rangkaian Raudhah Mart di seluruh Malaysia dalam tempoh 10 tahun. Sememangnya Raudhah Mart yang kini terletak di Seksyen 8 Bandar Baru Bangi masih lagi pada tahap percubaan dan kini telah masuk tahun yang ketiga.
Kami juga telah mengorak langkah yang lebih berani untuk menjadi pemaju perumahan. Melalui projek Raudhah City yang bermotokan ‘Membina Masyarakat Madani’, kami berharap untuk melahirkan persekitaran masyarakat yang menjunjung nilai mulia, memiliki peradaban yang tinggi, mempunyai asas penguasaan ilmu, memiliki iman yang kuat dan menguasai teknologi tinggi demi mencapai keadilan sosial untuk semua.
Bandar yang akan menjadi model gaya hidup Islam moden ini sebagai teras pembentukan masyarakat akan bermula di Pusat Komuniti Islam dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ruang solat, sukan, dewan serbaguna, ruang perundingan keluarga, perpustakaan, kolam renang dan ladang komuniti.
Pembangunan bercorakkan pusat sehenti yang juga menawarkan kompleks membeli belah komuniti mesra Islam akan menyediakan peluang kepada usahawan baharu untuk berniaga tanpa sewa dengan bantuan bimbingan perniagaan. Konsep Raudhah City yang memfokuskan ‘Kemewahan Mampu Milik’ Affordable Luxury’ pastinya akan memberikan lebih banyak peluang kepada umat Islam untuk memiliki kediaman bersama komuniti idaman. InShaAllah!
Khidmat sokongan kumpulan kami kini juga telah bertambah dan pelbagai. Kami mempunyai dapur berpusat (sentral) yang memiliki sijil halal JAKIM, syarikat animasi ‘Brainy Bones’ yang bertanggung jawab menyediakan siri animasi pendidikan dan patuh syariah. Menerusi AFLIX pula, kami menyediakan ‘Platform Hiburan Yang Beretika Atas Talian ’(‘Ethical Online Entertainment Platform), syarikat pembangunan perisian ‘Brainy Apps’ yang kini telah membangunkan perkhidmatan ‘ Sistem Bil dan Pengumpulan/Pembayaran atas talian’ ( Sistem ‘Online Billing & Collection Systems), Sistem Pengurusan Sekolah dan banyak lagi.
Kami juga telah berjaya menyediakan beberapa peluang perniagaan kecil seperti berikut
Program Rakan Niaga Buah Segar 88 – terdapat lebih daripada 18 cawangan di AeON dan Giant dan lima di ruang niaga terbuka yang menawarkan buah potong segar dan air.
Program Rakan Niaga CuciKasut – terdapat lebih daripada 20 rakan niaga secara sambilan yang menawarkan perkhidmatan mencuci kasut secara dry cleaning dan menggunakan teknik pembersihan tanpa merosakkan kasut dengan bantuan teknologi yang dibawa dari Amerika Syarikat.
Program Rakan Niaga Eeman Food RTE – melalui dapur sentral kami, kami berjaya membangunkan produk sejuk beku sedia dimakan dengan teknologi ‘Blast Freeze’ bagi mengekalkan rasa dan keselamatan produk dengan menggunakan teknologi dari Perancis. Peluang perniagaan kepada individu yang berminat untuk mendapatkan pendapatan sampingan dengan menjual produk kami di kedai-kedai runcit mereka.
Kini, kami di persimpangan kejayaan atau kegagalan. Kami hanya akan berjaya sekiranya saudara-saudara seIslam kami membantu kami dengan memberikan sokongan dan dukungan yang padu. Pastinya ada yang bertanya apakah yang anda akan dapat dengan menyokong kami?
Selain pahala daripada Allah S.W.T, kami mempunyai rancangan untuk membina empayar ekonomi yang membantu semua golongan melalui pelan strategik. Pada bulan Ramadhan yang lalu, kami telah menganjurkan seminar ‘Islamic Economic Revival’ yang antara lain telah menggariskan beberapa pelan tindakan untuk dilakukan.
Salah satu pelan tindakan adalah untuk memperkasa ekonomi masyarakat Malaysia dan umat Islam dengan cara melahirkan masyarakat yang mahir dalam pengurusan kewangan. Pada tahun ini, data Bank Negara menunjukkan jumlah individu yang diisytiharkan muflis semakin meningkat dan faktor utama yang menyumbang pada masalah ini ialah tabiat boros yang melampau dan pengurusan kewangan yang tidak bijak.
Atas rasa tanggung jawab ini, aku bersedia untuk mengadakan Bootcamp bimbingan kewangan dan perniagaan Ayuh Bangkit dengan hanya RM10 kepada individu yang betul-betul berhajat untuk memperbaik dan menaikkan taraf status kewangan mereka. Program yang bernilai RM1,299 akan aku berikan dengan HANYA RM10 kepada ANDA.
Semua yang membaca warkah ini mempunyai peluang untuk berjaya di dunia ini. aku telah mengambil keputusan untuk memberikan khidmat nasihat dan bimbingan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan kami. Khidmat nasihat kewangan peribadi dan khidmat jurulatih perniagaan, semuanya percuma dan akan diberikan kepada penyokong gerakan perjuangan pembangunan ekonomi. Anda hanya perlu melakukan beberapa perkara PERCUMA untuk bersama kami.
Daftarkan diri ANDA sebagai penyokong gerakan ekonomi AyuhBangkit dengan mendaftar di www.AyuhBangkit.com.
Kongsikan warkah ini dan nyatakan sebab ANDA menyokong perjuangan kami di laman media sosial ANDA dan sekurang-kurangnya dalam 10 kumpulan Whataspp.
Sekiranya ANDA berpeluang, hantarlah anak ANDA ke tadika Brainy Bunch. Andai sebaliknya, cukuplah sekadar doa dan teruskan berkongsi maklumat perjuangan kami dari masa ke masa.
Like dan Follow akaun media sosial kami facebook.com/CoachFadzil IG & Twitter CoachFadzil
Like dan Follow akaun media sosial kami facebook.com/brainybunchmontessori
Demi Allah, jika apa yang aku lakukan ini hanya untuk mengejar kekayaan, aku boleh sahaja francaiskan Brainy Bunch ini. Mengapa aku perlu berusah payah untuk berhadapan dengan ibu bapa pelajar yang ada saja tidak berpuas hati dengan kami? Mengapa aku perlu bersusah payah memikirkan bagaimana aku boleh menaikkan gaji pekerja-pekerjaku? Mengapa aku perlu sediakan peluang-peluang perniagaan kepada mereka yang memerlukan? Mengapa? Jawapannya hanyalah satu ~ aku ingin menjadi sebaik-baik umat seperti sabda Baginda s.a.w “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang memberikan manfaat kepada orang lain.”
Dan pintaku hanya satu. Jika ada sedikit manfaat dan kebaikan yang kalian dapat rasakan, berdoalah agar Allah mengurniakan aku Jannah tanpa hisab dan mengurniakan aku dan keluargaku kesihatan yang baik agar kami dapat terus memberikan manfaat kepada Ummah. Semoga doa dan sokongan daripada saudara-saudara seIslamku ini akan menyumbang pada kebangkitan semula ekonomi Islam yang sebenar. Amin.
Coach Fadzil
Pejuang Ekonomi Islam
Comments