Tak kenal maka tak cinta. Begitulah pepatah Melayu bagi menggalakkan kita untuk kenal mengenal antara satu sama lain supaya kita boleh mengenali dan menghormati sesama kita. Kadang-kadang kita terlalu cepat menghukum perkara yang kita sendiri belum faham atau tidak tahu. Ini terjadi kebanyakkannya di kalangan Bangsa kita, Bangsa Melayu. Jarang benar kita lihat posting Bangsa lain yang memburukkan Bangsa mereka sendiri atau mereka juga jarang berkongsi tentang keburukan orang lain. Sepatutnya persaudaraan seIslam yang kita ada sewajarnya menguatkan rasa cinta kita sesama kerana ini adalah perintah Nabi. ‘Tidak sempurna Iman seseorang jika tidak menyintai saudaranya sebagaimana menyintai dirinya sendir’ ! Saya mohon maaf jika ada penulisan saya mengguris hati mana-mana Saudara/Saudari di luar sana. Saya manusia yang penuh Khilaf dan senantiasa ingin berusaha memperbaiki diri menjadi manusia yang mampu memberi manfaat kepada seramai mungkin manusia di muka bumi ini.
Berikut kisah kehidupan saya agar yang tidak kenal boleh lebih kenal InshaAllah.
Saya dilahirkan oleh pasangan yang berkahwin tanpa restu keluarga. Ibu kandung saya seorang anak Exco Kerajaan Negeri berbangsa Melayu dan Ayah saya anak kepada kerani di pejabat Ayah Ibu yang berbangsa India. Ibu kandung saya pula pada waktu itu merupakan pemain Tenis dan Ayah saya merupakan wartawan. Sebaik sahaja saya di lahirkan, saya telah dijaga oleh seorang wanita yang bernama Sharifah Fadzilah di Alor Setar dan beliaulah yang telah menamakan saya Mohd Fadzil. Saya telah dibawa ke Kuala Lumpur dan kelahiran saya di daftarkan di Pudu Polyclinic. Banyak sebenar perkara yang masih saya tidak tahu tentang Ibu dan Ayah kandung saya. Saya telah dijaga oleh keluarga angkat saya yang akhirnya membuat keputusan untuk menjadikan saya sebagai anak angkat mereka secara rasmi. Itu lah Ayah dan Ibu bersama Kakak dan Abang-Abang yang membesarkan saya dengan penuh kecintaan tanpa membezakan saya. Adalah dua lagi anak yang sama dengan saya dari keluarga lain dibesarkan oleh Abah dan Emak. Walaupun tinggal di rumah balai polis yang kecil, rumah kami cukup menjadi tempat kami membesar dengan penuh kasih sayang. Tempat tidur saya semasa kecil hanyalah dibawah meja makan yang diletakkan tilam kekabu yang dibuat oleh arwah emak saya.
Saya sangat manja dengan emak dan abah.
Abah akan senantiasa bawa saya kemana sahaja dia pergi. Saya masih ingat kami naik basikal dari Petaling Jaya ke Puchong. Saya membonceng Basikal Jaguar Abah sebab nak usahakan tanah kebun kakak saya di Batu 13 Puchong. Abah dan Emak tak pernah fikir tentang kekayaan. Hidup mereka hanyalah memfokus kepada membesarkan anak mereka seramai 9 orang dan 3 anak Angkat yang sebenarnya ditinggalkan kepada mereka. Abah tidak mempunyai motosikal pun. Mak pula tak pernah dilihat mempunyai apa-apa. Baju raya kami Mak yang buatkan. Walaupun bunyi kami susah tetapi hidup kami cukup. Dari kecil saya sudah tahu yang saya ini anak angkat tetapi tidak pernah merasakan kurang kasih sayang. Saya menanam azam ingin menjadi orang kaya yang mampu membantu orang miskin keluar dari kemiskinan. Cerita-cerita seperti Dynasty, Dallas, PJ Holdings, Pretty Woman memberi saya banyak inspirasi untuk membina empayar perniagaan tetapi bukan ingin menjadi seperti mereka dari aspek sosial.
Semasa Saya Kecil
Dari kecik saya memang minat kan ilmu agama. Ini mungkin kerana Surau Balai betul-betul berada di depan rumah kami. Keluarga memanggil nama saya Boy. Saya sendiri tidak tahu nama betul saya sampailah apabila hari pertama Tadika Kemas. Saya marah dengan Cikgu Rozie yang memanggil nama saya Mohd Fadzil. Saya kata nama saya Boy dan terus keluar sekolah dan balik rumah. (Tadika dalam kawasan Balai PJ State). Dari kecil kami tidak pernah dipaksa belajar. Pergi sekolah hanyalah rutin dan Mak dan Abah tak pernah bertanya tentang sekolah. Saya buat keputusan saya nak buat apa tanpa perlu merujuk kepada sesiapa. Dirumah Mak menjaga anak-anak kecil sebagai baby sitter. Biasanya ada dalam 10 ‘baby’ yang dijaga.
Di sekolah rendah saya sudah mula mencari pendapatan sampingan dengan membantu makcik kanti jual Nasi Lemak. Selepas UPSR saya membantu abang Ipar saya berniaga Satay di pasar malam sekitar Melaka.
Kami pindah ke Puchong dimana Abah membina rumah sendiri di tanah keluarga Mak. Berjiran dengan Nenek sebelah Mak dan berpindah dari Hutan Batu PJ State ke Hutan Puchong yang masih lagi penuh dengan kehijauan pokok-pokok dan sungai. Puchong yang terkenal dengan bekas-bekas lombong juga menjadi tempat kami anak-anak kampung menyelam menangkap ikan dan kupang. Fikir balik sekarang memanglah sangat gila! Menyelam di kawasan Lombong tanpa ada dewasa bersama! Perbuatan yang tak mungkin kita benarkan untuk anak-anak kita sekarang.
Selepas tamat Sekolah Rendah Laki-Laki Bukit Bintang Satu, saya meneruskan pengajian saya di SMK Lelaki Bukit Bintang PJ. Di ketika itu Abang saya dan Pakcik Saya yang berumur lebih satu tahun sahaja di sekolah yang sama sudah menjadi kuasa Gangster sekolah. Tak sampai 6 bulan kakak saya mengambil saya untuk tinggal bersama di Ampang Tasek. Ini selepas beberapa insiden pergaduhan dan tindakan guru displin pada masa itu.
Saya dimasukkan di kelas terakhir 14A tingkatan satu yang kebanyakkannya adalah ahli kongsi gelap di kawasan Ampang semasa tahun pertama di SMK Ampang Tasek. Alhamdulillah saya berjaya masuk ke kelas kedua terbaik semasa di tingkatan dua sebelum dihantar ke SMK SAAS Kajang dan tinggal di Asrama Harian sekolah tersebut.
Semasa tinggal di Ampang, saya membantu Ayah abang ipar saya berniaga Sayur kampung di sekitar pasar malam Ampang. SMK Tasek adalah sekolah pertama saya yang mempunyai pelajar perempuan. Saya sering dipanggil Petai,Jering oleh budak-budak perempuan yang mengenali saya kerana menjual sayur kampung di pasar malam tempat mereka.

Semasa tinggal dengan kakak saya
Kak Norsiah aka Kak Nor dan Abang Ipar saya Abg Mie, saya banyak belajar teknik berniaga Bangsa Cina. Abg Ipar saya merupakan peniaga kedai motor yang banyak pengalaman bekerja dengan Bangsa Cina. Dia banyak berkongsi ilmu perniagaan khususnya kepentingan pengurusan tunai. Kakak saya pula banyak berkorban untuk saya. Dialah yang mengambil tanggungjawab menanggung seluruh perbelanjaan saya sehingga lah saya mendapat pekerjaan. Itupun beliau masih menanggung juga sampai saya benar-benar sudah stabil.
Semasa di SMK SAAS Kajang saya telah diberikan peluang untuk belajar hidup berAgama dengan lebih baik. Cikgu Fatimah Ketua Warden yang membuat reformasi pentadbiran asrama tahun 1991 telah memberikan saya asas Agama Islam yang saya ada pada hari ini.
Sekolah yang dahulunya terkenal dengan dadah dan kes-kes lain berubah wajah dengan imej pelajar asrama seperti pelajar sekolah Agama. 1991 juga tahun saya belajar tentang kehebatan Kumpulan Arqam. Saya sangat mengagumi kehebatan perniagaan mereka dan seni nasyid mereka.
Di SAAS saya dilatih menjadi bilal, imam dan pemimpin. Kemahiran berucap diasah dan saya menjadi Ketua Asrama semasa tahun SPM saya. Hubungan akrab dengan Cikgu-Cikgu dan Ustazah-Ustazah saya rasakan antara asbab yang saya berterusan mendapat berkat doa mereka sehingga ke hari ini. Semangat berniaga terus berkembang Semangat berniaga terus berkembang dengan aktiviti menjual Maggie,mengambil upah Basuh Baju Junior untuk membayar tuisyen Akaun SPM, bekerja semasa cuti sekolah dan macam-macam lagi.
Saya pernah bekerja sebagai pembancuh simen, waiter di KL Hilton, jual nasi lemak, jual MLM produk dan macam-macam lagi sebelum berumur 17 tahun.
Latihan menjadi pemimpin diteruskan apabila saya menyambung pengajian di ITM Arau dalam Diploma Perkaunan (DIA). Di ITM Arau yang saya pergi dengan menumpang kawan yang pergi bersama keluarganya semasa hari pendaftaran saya menikmati kehidupan Kampus yang benar-benar menyeronokkan.
Sukan, Persatuan, Gerakan Pelajar dan Perniagaan adalah aktiviti utama saya dalam tempoh 3 tahun sebelum di anugerah Pelajar Lelaki Terbaik Keseluruhan. Niat asal ialah ingin menyambungkan pelajaran selepas Diploma ke America seperti ‘Senior-Senior’ kami tetapi tahun itu jugalah tahun kemeleSETAN ekonomi di mana MARA menangguhkan penghantaran pelajar ke luar negara.
Saya terus berkerja sebelum diajak berniaga oleh rakan karib saya arwah Ismail Dennis. Kami memulakan perniagaan menjual komputer klon sebelum saya di ajak oleh kawan sekolah saya yang bekerja di London.
Affandi atau nama glamour dia Fendi Tulang mengajak saya datang ke London untuk berniaga. Dia kata ‘Kau nie jual karpet pun mesti laku!’ memberi saya semangat untuk ke kota London.
Pada waktu itu Air Asia belum ada lagi. Fendi (Founder dan Owner Dapo Pata dan sekarang membantu saya mengemudi Kumpulan Malakat Retail) telah menghantar saya wang untuk membeli tiket kapal terbang ke London.
Flight Pertama Saya Ini merupakan Flight pertama saya dalam hidup saya. Saya bersama dengan Linda Rafar yang juga dalam perjalanan ke London. (dia tak kenal saya, kebetulan jer sama dengan dia satu flight)
Di London saya belajar macam-macam. Dari menjadi waiter, cleaner, penghantar surat khabar, flyers dengan sasaran pendapatan minima 20 pound untuk mampu hidup dengan selesa di sana kami membuka syarikat Livewire Private Limited. Tapi rezeki berniaga belum ada kerana Fendi buat keputusan untuk pulang ke Malaysia lebih awal. Di akhir tempoh visa 6 bulan saya yang sepatutnya saya sambung, saya buat keputusan untuk pulang ke Malaysia terus.
Walaupun hanya visitor di London tapi saya sempat menyertai beberapa program di MSD London. Menjadi imam solat raya, menyertai persembahan sebagaimana pelajar-pelajar Malaysia yang berada di London.

Mulakan Perniagaan Komputer Training
Saya kembali ke Malaysia dan mulakan perniagaan Komputer Training bersama abang saya sebelum memulakan kerjaya sebagai Sales untuk projek kerajaan.
Saya mendapat peluang bekerja dengan Pernas Olivetti sebagai Sales Exec. Siang buat sales, malam jadi tutor akaun dan macam-macam kerja dan bisnes saya buat. Alhamdulillah dalam tempoh satu tahun saya berjaya memenangi tender besar di UIA dan UM. Saya sangat dikenali menjadikan ofis rumah saya sampai tidur di office dan buat kerja gila-gila! Walaupun Bos hanya bagi kenaikan gaji RM 300 setelah saya bawakan Sales RM2juta untuk syarikat, rezeki seterusnya Allah berikan saya menyertai NEC Computers Malaysia.
Bukanlah mudah untuk sesiapa ingin menyertai syarikat multinasional. Norliza Ramli adalah insan penting yang membawa saya masuk mungkin kerana beliau suka akan kerja keras saya semasa di POIS.
Tempoh di NEC tak lama kerana mungkin saya yang terlalu agresif sedangkan BOS saya agak perlahan. Saya mendapat tawaran dari FORMIS Malaysia untuk bersama unit projek Kerajaan mereka. Gaji di POS RM 1,350 menjadi RM 1,650 dan RM 2,700 di NEC sebelum kenaikkan ke RM 3,000 selepas mencapai sasaran syarikat. FORMIS terus menawarkan Gaji permulaan RM 3,800!
Saya belajar asas Sales semasa di NEC. Tetapi di FORMIS lah saya berjaya membina kekayaan sebelum mendapat tawaran menyertai DELL Malaysia.
Ilmu Kewangan merupakan minat utama saya dan saya banyak belajar dari Azizi Ali walaupun hanya baca satu buku sahaja darinya. Saya tidak bersetuju dengan cara beliau tetapi banyak belajar perkara asas melalui buku beliau.
Saya mempunyai lesen sebagai Agen Insurance, Unit Trust dan sangat suka mendalami ilmu perniaagaan.
Perkahwinan Saya
Saya berkahwin pada tahun 2003 dengan Agen Unit Trust yang diperkenalkan kepada saya oleh Pak Cik saya. (Adzhar Retired Gangster Sekolah) Efizah Mohtar Rasali. Abah meninggalkan kami lebih awal sebelum kerjaya saya terbina. Emak pula jatuh lumpuh separuh badan semasa saya dalam kereta membawanya untuk bertemu Dr. Banyak tempat saya bawa Mak untuk berubat. Selepas perkahwinan dan Isteri sudah mengandung, Mak tinggal dengan kami dijaga bersama oleh pembantu kami Arwah Akak Poziah.
Mak meninggalkan kami semasa kami sedang sibuk membuka kedai Avon di Semenyih genap 1 bulan anak kedua kami dilahirkan. Semoga Allah mengampuni Abah dan Mak dan menjadikan kubur mereka seperti taman-taman syurga dan melepaskan mereka dari sebarang siksa. Al-Fatihah
Anak-anak sememangnya mengubah kehidupan kita. Saya mula risau tentang asas Agama mereka disamping inginkan anak menguasai bahasa inggeris yang saya pada waktu itu kurang mahir.
Selepas pelbagai kejayaan di FORMIS saya membuat keputusan untuk mencari peluang yang lebih baik. Saya sempat menyambung pengajiaan Ijazah Undang-Undang UITM sebelum menerima tawaran daripada DELL Malaysia.
Program Ijazah tidak diteruskan tetapi saya memfokus kepada pelan menjadikan DELL syarikat pilihan utama sektor kerajaan. Perlawanan sengit dengan HP Malaysia membuahkan pelbagai strategi perniagaan dipelajari.
Saya di angkat menjadi Pengarah Jualan termuda DELL pada waktu itu. Pada tahun akhir di Dell purata pendapatan bulanan mencecah RM70,000 sebulan.

Perjalanan saya dalam Bisnes
Saya membuat keputusan untuk berniaga secara sepenuh masa dan menamatkan kerjaya yang penuh warna warni semasa di DELL.
Januari 2008 saya pergi ke America dan mengambil latihan menjadi ‘Business Coach’ dengan syarikat Action Coach International. Lesen RM80,000 di bayar dan RM 60,000 yuran latihan menjadikan saya ‘Certified Business Coach”.
Februari 2008 pula saya membeli sebuah Tadika yang dijadikan Tadika Brainy Bunch yang dijenamakan pada tahun 2010. Tahun 2008 jugalah saya menceburi pelbagai jenis perniagaan. Ternak Lembu Fidlot 150 ekor, Ikan Keli 6 kolam, Ternakan Lintah, Ayam Kampung, Sara Saloon, Kedai Bundle, My Nasi Lemak dengan lebih 20 cawangan, Catering, Projek Komputer, Servis Centre Lenovo, Latihan dan Motivasi dan macam-macam lagi. Ramai yang kata saya gila. Boleh ker percaya dia nie buat Tadika. Ada ker dia nie nak buat Sekolah Islam Antarabangsa dan macam-macam lagi kata-kata sinis yang diperkatakan.
Alhamdulillah! Saya cukup yakin yang Allah senantiasa jaga saya di keseluruhan hidup saya. Anak pungut yang dijaga Allah! Dari tadika kecil sehingga mampu membeli 5 ekar tanah yang bernilai RM17 juta dan membangunkan Bangunan Unik yang kini bernilai lebih 100 juta.
Sekolah Islam Antarabangsa swasta yang pertama memiliki Bangunan dan Fasiliti yang setaraf dengan Sekolah Antarabangsa yang lain.
Motivasi dari kecil yang ingin membantu seramai mungkin manusia keluar dari kemiskinan antara sebab kenapa saya tidak pernah berhenti untuk RISAU kan usaha yang perlu dilakukan.
RISAU fikir itulah menghasilkan projek Ayuh Bangkit dan Malakat Mall dengan misi Membina Ekosistem Ekonomi Islam Bebas RIBA 2030 dengan sasaran Pendapatan Minima RM5,000 sebulan untuk peserta Malakat Eco!
Banyak lagi cerita dalaman yang tak sempat saya nukilkan. Cukuplah dahulu sebagai pengenalan Siapa Coach Fadzil? Boleh percaya ker mamat nie? Patutkah Aku Bersama dan Sokong Kerja Gila DIA?
Sambungan akan Datang MISI 2030 – Membina Ekosistem Bebas RIBA dengan Mengembalikan Ketaatan Kepada ALLAH InshaAllah! Terima kasih dan Tahniah kerana ANDA membaca sehingga akhir! Semoga Allah berikan kita kefahaman dan Jalan Pintas untuk mencapai Kejayaan Dua Dunia!
Yang mencintai ANDA! Coach Fadzil #CoachFadzil #MalakatEco
Comments