top of page
Writer's pictureCoach Fadzil

Kepada Pengusaha Taska Dan Tadika


Intisari live Coach Fadzil Hashim pada 28.3.2020

KEPADA PENGUSAHA TASKA DAN TADIKA: JANGAN BIMBANG SANGAT TOPIK ini saya hendak sampaikan kepada rakan-rakan seperjuangan pengusaha taska dan tadika yang sangat terkesan lebih-lebih lagi pengumuman PM semalam menunjukkan duit akan terus pergi kepada rakyat, dan pada masa yang sama ada arahan bahawa majikan tidak boleh memotong gaji dan tidak boleh memberhentikan pekerja.

Kepada para pengusaha, PKP ini adalah badai. Ia bukan sesuatu yang berterusan. Insya-ALLAH saya yakin wabak ini akan berakhir. Kebijaksanaan dan kekuatan KKM yang punyai perancangan dan dibantu oleh PDRM, ATM dan pemerintahan di Malaysia yang saya rasa antara yang terbaik dalam menguruskan bencana ini; saya yakin ia akan tamat.

Walaupun banyak tadika memberi diskaun kepada ibubapa, ia menjadi tidak mencukupi buat mereka membayar kos yang perlu mereka tanggung, itu adalah isu yang merisaukan.

PASCA COVID-19

KEPADA pengusaha taska dan tadika, apabila habis tempoh PKP ini, semua orang akan bekerja. Para ibubapa yang terpaksa bekerja di rumah dalam tempoh PKP ini akan keluar bekerja.

Barangkali pada bulan Disember nanti tidak akan ada cuti kerana hendak mengganti tempoh tidak bekerja sewaktu PKP ini apabila syarikat-syarikat swasta hendak dapatkan balik apa yang mereka rugi dalam tempoh PKP ini. Kerana bekerja, para ibubapa akan menghantar anak-anak mereka kepada kita.

Sektor yang tuan puan berada adalah sektor perkhidmatan, yang terpenting dalam khidmat sokongan kepada ibubapa. Ia bukan suatu perniagaan seperti buka kilang baju atau kedai makan. Tetapi jika semua taska dan tadika di seluruh negara lumpuh, kerana 95 peratus daripada pengusaha ini adalah secara kecil-kecilan, bagaimana ibubapa hendak pergi bekerja?

Kerana itu, tuan dan puan janganlah risau kerana perkhidmatan yang tuan puan sediakan untuk masyarakat adalah perkhidmatan asas. Walaupun apa yang berlaku, kadar pemulihan taska atau tadika tuan puan akan lebih cepat berbanding dengan mereka dalam perniagaan yang lain.

Dalam sektor lain, mereka sangat terkesan selepas PKP ini sebab mereka hendak pulihkan perniagaan. Perniagaan pelancongan misalnya akan menghadapi tempoh yang mencabar untuk pulih. Pasaran saham di negara kita sudah jatuh beberapa ratus mata. Pasaran saham dunia pun kerugian bertrilion dollar.

ISU PEMBAYARAN YURAN

MENGENAI isu gaji, kita perlu berbincang dengan mereka. Meskipun orang tidak memandang kita seperti para doktor di hospital, tetapi dalam tempoh PKP ini, para ibubapa sepatutnya memahami tanggungjawab para guru tadika atau pengasuh.

Kerana PKP, para ibubapa kini berdepan dengan pelbagai kerenah anak-anak yang nak makan, bergaduh dan menyepah. Oleh itu mereka harus menyedari bahawa tugas pendidikan awal kanak-kanak ini bukannya tugas yang mudah. Kalau sekadar menjaga semata-mata, itu sudah jadi seperti di penjara.

CABARAN KITA BERDEPAN UJIAN ALLAH

Keadaan mencabar bukan bererti kena kita give-up. Sebaliknya mencabar itu perlukan kita mencari jalan lain. Apabila ALLAH benarkan sesuatu itu terjadi, ia mesti ada ibrah atau pengajaran darinya. Khusus kepada pengusaha taska dan tadika, tuan puan tidak perlu bimbang kerana ini adalah di antara sektor yang paling cepat pemulihannya. Apa yang perlu ialah kita terus bersama dengan guru-guru kita.

Dalam hidup kita, kita ada peranan hablum minallah dan hablum minannas. Kehidupan kita ada tanggungjwab kita dengan ALLAH dan juga dengan manusia.

KEBERKATAN REZEKI DALAM BERBELANJA

REZEKI yang ALLAH berikan kepada kita adalah amanah kepada kita untuk mentadbir. Kita punyai peranan sebagai hamba dan juga peranan sebagai khalifah. Sebenarnya dunia adalah ujian daripada ALLAH supaya kita boleh bawa apa yang telah kita lakukan bila bertemu dengan-NYA.

Apa yang ALLAH beri kepada kita bukannya untuk kita jadi kaya seperti Qarun. Kalau pun simpan duit kerana tidak perlu membayar enam bulan, apa yang tuan puan dapat, melainkan menyimpan semata-mata. Wang itu patut digunakan untuk berbelanja. Jika tidak, ekonomi negara akan terus menguncup.

Segala insentif yang kerajaan berikan adalah untuk berbelanja. Yuran yang diberi untuk dibayar gaji guru dengan keikhlasan, maka itupun ibadah.

Kita kena faham, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Tetapi seandainya terkesan, tak perlulah bayar kerana itu adil. Dan saya tidak hendak berhujah. Tetapi tuan puan kena faham, nanti bila tadika dibuka, mungkin tuan puan akan berdepan dengan situasi yang berbeza.

Mungkin pihak tadika akan mengenakan caj yang lebih tinggi. Ini mungkin opsyen yang pihak tadika boleh lakukan.

UJIAN COVID-19

DUNIA ini adalah ujian. Covid-19 adalah benda tak nampak. Tetapi ALLAH lihat, bagaimana kita melayani satu sama lain. Apakah kita semakin baik, ikhlas, tawaduk, reda, semakin menyintai ataupun semakin marah dan berkira. Jika itu yang terjadi, tuan puan sila buat penilaian sendiri.

Akhirnya kita semua akan mati. Jika kita panjang umur, ALLAH akan bagi ujian juga. Kerana itu kita kena lihat samada kita memberi manfaat kepada orang iaitu menurut pandangan ALLAH atau kita melanggarnya.

Kalau kita lihat wang yang kita ada itu hak kita dan membuat pendirian samada untuk memberi atau sebaliknya, itu hak kita. Namun, apabila hendak melakukannya, janganlah tanya hati, tetapi tanyalah iman.

BRAINY BUNCH TURUT TERKESAN

SETELAH 11 tahun beroperasi, alhamdulilah Brainy Bunch sentiasa dapat membayar gaji. Tetapi inilah pertama kali saya menghadapi situasi ini. Menitik air mata saya tatkala menulis warkah kepada guru-guru dan staf-staf saya mengenai pembayaran gaji itu.

Syarikat masih punyai kewangan, tetapi untuk menjaga aliran tunai, saya terpaksa melakukannya. Kebanyakan staf yang mendapat mesej itu menerimanya. Itu adalah keputusan organisasi apabila mengambil kira jika PKP ini dilanjutkan. Ia adalah untuk mempastikan aliran tunai tidak terganggu.

Kampus kita akan dinyahkuman dan kita akan buat prosedur untuk kemasukan para pelajar nanti sebab kita tidak mahu nanti ada gelombang ketiga dan seterusnya. Sebab itu kemungkinan pihak sekolah akan kenakan saringan semula kepada para pelajar.

Pihak ibubapa daripada pelbagai latarbelakang dan pelbagai tempat akan meningkat risiko jangkitan apabila mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Jika terjadi jangkitan, ia boleh memberi kesan yang pelbagai yang mungkin melibatkan pelbagai organisasi. Kerana itu, kita akan berbincang dengan KKM mengenai hal ini.

PERTIMBANGKAN KEADAAN TASKA DAN TADIKA

KEBANYAKAN taska dan tadika yang saya tahu seolah-olah membuat kerja secara percuma setelah mengetahui kos pengendalian mereka. Sebab itu, kita tidak boleh berkira sangat.

Pengusaha taska dan tadika perlu ada sedikit untung agar mereka dapat bersedekah dan berzakat agar kita mendapat keberkatan dalam perbelanjaan. Jika kita lakukan itu, kita boleh tengok apa yang akan terjadi pada kehidupan kita.

Apabila para ibubapa mendaftar, ada syarat dan terma yang mengatakan yuran perlu dibayar walaupun tiada kedatangan. Jika ada yang tidak mahu membayar atas dasar kerana tiada persekolahan, ini boleh dilihat sebagai pelanggaran kontrak. Cadangan saya, hal ini tidak perlu disebut atau tuan puan bertanya pula kepada ibubapa.

TERUSKAN BERSEDEKAH

Niatkan begitu agar apabila Covid-19 ini telah berlalu dan kita semua selamat. Nanti, apabila ke pasar-pasar bayarlah lebih sikit kepada peniaga tanda prihatin kepada mereka yang terkesan dengan wabak ini. Budaya tip memang tiada di dalam bangsa kita sedangkan tip itu adalah sedekah.

Mengapa kita berasa pelik sedangkan ada banyak hadis dan ALLAH pun sudah firmankan banyak kali di dalam al-Quran. Tidak perlulah menanti Ramadan untuk bersedekah. Namun terpulanglah kepada tuan puan.

Saya bukanlah lebih hebat atau lebih pandai. Tetapi sekiranya apa yang saya sampaikan mempunyai manfaat, sila menerimanya. Tetapi andai kata ia membuatkan tuan puan lebih marah, saya mohon maaf.

Bukan niat saya untuk mendabik dada, tetapi kita kena saling bantu membantu terutamanya dalam tempoh yang agak sukar yang meliputi seluruh dunia. Inilah waktunya kita satukan segala tenaga.

SERUAN BUAT TEMAN-TEMAN PENGUSAHA TASKA DAN TADIKA

Khusus untuk pengusaha taska dan tadika, jangan bimbang kerana ALLAH ada dan selalu bersama kita. Yakinlah yang ALLAH akan buka jalan seluas-luasnya sebab ALLAH telah berkati kita yang berada dalam industri ini yang merupakan industri penting dalam negara.

Insya-ALLAH badai itu akan terus berlalu. Apa jua wabak di dalam dunia ini akan tamat dan insya-ALLAH jika kita yakin dengan janji ALLAH bahawa ALLAH akan bantu kita, kita akan melepasi tempoh Covid-19 ini dengan lebih kuat.

Semoga ALLAH memberi tuan puan, guru-guru kita kekuatan untuk memahami kekangan yang kita hadapi buat masa ini dan terus bersama-sama dengan kita. Insya-ALLAH kita akan lebih kuat lagi selepas ini.

Insya-ALLAH.

83 views0 comments

Commentaires


bottom of page