Reaksi Kepada Pelan Pemulihan Kebangsaan

Apakah kesan pengumuman YAB Perdana Menteri kita semalam dan apa tindakan yang patut kita buat?


Pertama kali kita kena bersyukur kepada ALLAH swt sebab masih pilih kita dan beri kesihatan walaupun saya menerima perkhabaran demi perkhabaran yang menyedihkan mengenai pemergian beberapa orang yang dekat dengan kita.

Yang terbaru, parents pelajar Brainy Bunch kami meninggal dunia di Denai Alam kerana kemalangan motorsikal. Dua hari lepas, seorang bakal ahli farmasi di Malakat Pharmacy meninggal dunia kerana kemalangan.


Semua yang bernyawa pasti akan menghadapi mati. Kalau ALLAH swt nak ambil kita, Dia boleh lakukan dengan sebab ataupun tanpa sebab.

PELAN PEMULIHAN DAN KESAN KEPADA USAHAWAN Kita fokus kepada pengumuman PM Malaysia, TS Muhyiddin Yassin. Saya bukan nak komplen tapi nak beritahu akan kesan pengumuman itu terhadap golongan usahawan. Kita seolah-olah telah berkorban secara sia-sia pada tahun lepas. Kalau nak salahkan kerajaan memang salah kerana Covid-19 meningkat berpunca dari PRK. Tapi benda dah lepas. Kita sebagai usahawan sebagai timun. Mereka durian. Dia golek kita, kita luka. Dia langgar kita, kita luka. Secara ringkas PM menjelaskan, Pelan Pemulihan Negara ada empat fasa. Cuma yang disebut bukannya Pelan Pemulihan Negara, tetapi seolah-olah seperti pelan yang tidak akan memulihkan negara. Tiada banyak strategi yang beliau kongsikan dengan kita selain daripada sasaran-sasaran yang tidak logik. Contohnya, Fasa 1, target penurunan hingga 4,000 kes dan vaksinasi mencapai 10 %. Pada bulan Jun ini. Insya-ALLAH kes yang paling tinggi dan paling awal dahulu ialah daripada sektor pengilangan. Kenapa kilang tidak tutup-tutup lagi?

PERLUNYA KILANG BESAR DITUTUP Ada orang kata, kalau kilang ditutup, habislah ekonomi. Kebanyakan kilang ini dipunyai oleh syarikat-syarikat besar. Pekerja-pekerja mereka adalah pekerja asing yang bergaji rendah. Jadi tiada kesan kepada orang tempatan. Syarikat-syarikat besar ini pula mempunyai dana yang besar untuk bertahan. Sektor ini memberi gambaran bahawa kes-kes ini tinggi kepada negara sedangkan ia berlaku di kluster-kluster pekilangan. Jika ditutup ia boleh menjadikan statistik kes-kes Covid-19 menjunam dengan drastik. Justeru itu, kita tak perlu tunggu hingga bulan 12 baru hendak buka ekonomi. Saya bukannya marah. Cuma hendak memberitahu bahawa bukan sahaja golongan usahawan tetapi juga para pekerja usahawan yang akan terkesan. Fasa kedua pula menyatakan, kes turun pada Julai-Ogos di bawah 2,000 dan vaksinasi pula 40 %. Fasa ketiga pula bila kes turun di bawah 500 dan vaksinasi mencapai 60 % pada bulan September-Oktober. Sebenarnya, saya ingatkan kita dah buka setelah fasa tiga. Banyak negara-negara lain seperti di UK contohnya. Baharu 50 % lebih yang jalani vaksinasi dos pertama, negara itu sudah umumkan imuniti kelompok.

TERLALU LAMBAT BILA PULIH PADA DISEMBER Kenapa kita hendak tunggu sampai 80 % pada Disember baharulah pasaran keseluruhannya akan dibuka? Apakah ini hendak membunuh kita semua? Ini adalah respons kepada apa yang diumumkan. Inilah masalah yang akan berlaku. Saya bukan orang politik. Tapi dalam konteks ini seolah-olah menunjukkan yang kerajaan hendak berkuasa selama mungkin bila mengatakan Parlimen hanya akan dibuka pada fasa ketiga. Apakah tidak mahu hilang kuasa bila dibuka lebih awal? KKM dah buat kerja yang bagus. Semua institusi kesihatan telah buat kerja yang terbaik. Cuma mereka yang berkuasa tiada keberanian politik untuk membuat keputusan yang terbaik.Misalnya, kerajaan perlukan keberanian politik untuk menutup kilang. Tutuplah sebulan sahaja dan saya yakin kita akan dapat lihat penurunan drastik kes-kes Covid-19. Ini hanyalah permintaan kerana sebagai usahawan, kami hanya boleh bercakap sahaja. Hendak marah pun tak boleh kerana kita tiada kuasa.

PASTIKAN KELESTARIAN BISNES SENDIRI Berbalik kepada kesannya kepada para usahawan, kami dah tahu apa yang bakal berlaku. Dan kita dah tahu apakah jenis bisnes kami sesuai atau tidak dengan PKP ini. Ini nasihat kepada para usahawan. Saya sendiri mempunyai 1,800 kakitangan. Bagi tauke-tauke besar yang tidak perlu menutup kilang, anda telah menggadai majoriti rakyat dengan sebahagian kecil daripada rakyat. Populasi kilang tidak sampai sejuta orang pun. Tapi kebanyakan para pekerja adalah warga asing. Kebanyakan daripada tauke-tauke pun mempunyai dana yang besar yang mana mereka mampu bertahan. Mereka akan rugi tetapi kami memang dah lama rugi. Tapi kalau rasional membuka ekonomi ialah apabila kes menurun, kita patut sasarkan kes menurun dalam tempoh sebulan. Ini adalah refleksi kerana kita nak belajar dari kesilapan akibat kelemahan kita. Masa hari raya tempohari, kenapa tak tutup betul-betul? Kita tak boleh keluar, pun. Kita sepatutnya lockdown dua minggu hingga hari raya dan kini dah sebulan kita dapat settle

BERSEDIA BILA PASARAN DIBUKA KEMBALI Tapi benda dah lepas, nak buat macam mana. Tolonglah bagi sesiapa yang boleh sampaikan kepada kerajaan, bahawa kita terkesan. Pilihan di tangan yang ada ialah membuat penangguhan kerja. Kita tidak cukup sumber aliran tunai kerana kita baharu sahaja hendak selesaikan hutang-piutang tahun lepas, baharu membuat pembayaran-pembayaran dan kini terpaksa berdepan dengan persiapan bila pasaran dibuka kembali. Bila pasaran dibuka, kita perlukan segala sumber kewangan. Jika hendak menunggu dana kerajaan, nampaknya tiada jalan kita akan dapat bantuan. Jadi, pilihan yang ada ialah dengan menghentikan perniagaan. Kita gantung dahulu operasi. Syarikat tidak akan ada pendapatan. Yang mungkin ada ialah wang sara hidup cukup untuk memberi makanan. Hendak memberi gaji, kita memang tidak mampu. Nasihat kepada para usahawan pula; anda tentu boleh nampak apa yang akan berlaku pada tempoh 6 bulan akan datang. Duit yang sepatutnya turun dalam bentuk bantuan dari Perkeso misalnya… saya mempunyai staf yang menerima subsidi RM200 sahaja. Jadi kami kena tampung bakinya. Pembayarannya pula terlalu lambat di antara 3 – 6 bulan. Kami perlukan aliran tunai. Bila pihak kerajaan buat pengumuman yang tak membenarkan kami beroperasi, kami amat memahami dan setuju.

PERKESO PERLU SEGERAKAN BAYARAN SUBSIDI Tapi bagi kerajaan yang mempunyai wang di tangan, mereka perlulah bayar kepada golongan yang patut menerimanya. Program Subsidi Upah dari Perkeso memang lambat. Mengapa lambat sebab duit itu duit rakyat! Ada yang dapat untuk Fasa PKP 1.0 tetapi tak dapat untuk Fasa 2.0. Kita dah tak boleh buat apa. Hanya bercakap. Cuma nasihat saya, apa yang akan berlaku dalam tempoh panjang 6 bulan akan datang bukannya kecil sebab kita menanggung overhead dan aliran tunai.

PASTIKAN KAWALAN TERHADAP ALIRAN TUNAI Aliran tunai kita akan amat terkesan melainkan kita ubah jenis perniagaan walaupun tiada jaminan kita boleh beralih arah dalam masa yang begitu pendek. Kalau kita nak mulakan bisnes baharu, ia mengambil masa untuk menampakkan hasil. Contohnya bila kami membuka Malakat Mall… mana-mana perniagaan perlukan masa untuk ia berkembang di peringkat awal. Tapi kita perlu pastikan kita punyai cukup tunai apabila pasaran dibuka. Bila pasaran dibuka semula, kita tiada pilihan lain melainkan berniaga. Staf-staf dan keluarga akan bergantung kepada kita. Apa yang para usahawan perlu lakukan? Pertama kesannya ialah, kalau kita tidak merancang dengan betul, kemungkinan besar perniagaan kita terpaksa tutup terus. Kita tidak boleh buat pinjaman ahlong atau apa-apa pinjaman yang berbentuk riba. Kita ada dua pilihan. Satu kekalkan staf dan berunding dengan mereka untuk memaksimakan tenaga mereka di bidang yang lain. Macam kami, kami boleh mengalih tugas para pekerja untuk membantu di grocer atau membuat jualan secara talian. Kita akan bayar mengikut apa yang kita ada.

MAJIKAN-STAF PERLU SEFAHAMAN Pada waktu ini, staf perlu faham. Ini bukan waktu staf untuk mempersoal hingga membawa majikan ke mahkamah. Dalam pada itu, para usahawan perlu berunding dengan staf, kalaulah syarikat tidak boleh beroperasi dalam tempoh PKP agar mereka diberi cuti tanpa gaji untuk sesuatu tempoh. Untuk pilihan kedua, adalah dengan berhentikan pekerja. Saya pun alami beberapa insiden-insiden kerana kami pun tak pandai sangat. Rupa-rupanya bila kita hendak berhentikan pekerja, kita perlu menghantar notis kepada Jabatan Tenaga kerja dalam tempoh sebulan sebelum kita memberhentikan mereka. Kita memang tak hendak buat pemberhentian jika staf tiada masalah. Hari ini saya nak minta semua staf saya hantar surat ke Jabatan Tenaga Kerja untuk mengumumkan yang kami terpaksa membuat pemberhentian pekerja.

LANGKAH PINDAHKAN STAF KE BAHAGIAN LAIN Tapi kami di Kumpulan Malakat dan Brainy Bunch sebolehnya tidak hendak buat. Cuma semuanya bergantung kepada staf untuk ambil tanggungjawab dengan mengambil tugas lain. Syarikat-syarikat besar pun telah mengubah peranan staf masing-masing menjadi penjual dan sebagainya. Ini adalah antara pilihan yang kita ada. Saya insya-ALLAH pada malam ini akan berbincang dengan staf saya di kelab sosial online dengan memberi amanat apa yang kita boleh lakukan. Insya-ALLAH seboleh-bolehnya Kumpulan Malakat hendak kekalkan gaji kakitangan. Tetapi di pihak pengurusan, kita terpaksa buat pemotongan gaji. Yang mana boleh, kita hendak kekalkan bergantung kepada keupayaan. Kepada usahawan, nasihat saya ialah dengan membuat pelan aliran tunai. Apa aliran yang kita boleh fokus dengan yakin. Tentulah ALLAH Maha Kuasa. Kita ini makhluk yang tiada kuasa. Tapi kita kena rancang. Walaupun ALLAH adalah perancang yang terbaik. Kalau kita nak marah dan sedih, itu adalah luahan perasaan. Sebab dia kata dia ‘abah’ kan? Orang nak jadi abah ini kenalah buat persediaan makanan untuk anak-anak.

CADANG TANGGUH BAYARAN SEWA PREMIS Tapi kita harap para usahawan dapat buat perancangan aliran tunai yang betul. Senaraikan dan berunding dengan premis-premis sewa. Walaupun tuanpunyanya tidak suka, saya tiada pilihan. Saya akan hantar surat kepada tuanpunya bangunan untuk menyarankan mereka gunakan deposit sewa yang telah kita bayar. Maksudnya kita jangan gunakan duit yang ada untuk membayar sewa. Tentulah tuanpunya bangunan tidak suka dengan apa yang saya katakan ini. Tapi hakikatnya, sewa kita mempunyai deposit. Inilah waktunya kita izinkan mereka gunakan deposit itu. Bila pasaran dah pulih, kami akan penuhkan semula deposit itu. Kami dah lakukan tahun lepas dan alhamdulilah kebanyakan tuanpunya bangunan bersetuju. Kita pun alhamdulilah dah selesaikan bayaran deposit itu. Tapi kini kena buat balik surat untuk memohon kepada tuanpunya bangunan agar tidak memaksa kita membayar sewa sekarang. Kedua, berbincang dengan staf-staf pengurusan dan juga staf-staf bawahan. MENDAPAT PERSETUJUAN DENGAN STAF Kalau wangnya tidak banyak misalnya kena membayar RM1,500, kalau kita kira-kira dan menjangka pembayaran RM1,000 itu mencukupi, maka kita akan berunding dengan staf untuk jumlah itu. Jika staf tidak bersetuju, baharulah usahawan boleh menghentikan perkhidmatan staf berkenaan untuk tempoh sehingga keadaan puilih. Kalau staf setuju alhamdulilah, kita tandatangani persetujuan. Jika sebaliknya kita ambil pilihan menggunakan kelulusan Jabatan Tenaga Kerja untuk menamatkan perkhidmatan mereka. Ini adalah untuk mengelak daripada tindakan undang-undang. Cuma kalau boleh tidak perlulah staf dan majikan dalam keadaan yang keruh. Kedua-dua pihak perlu bekerjasama. Ketiga, isi borang GTK Jabatan Tenaga Rakyat untuk memenuhi prosedur sekiranya kita memberhentikan pekerja. Keempat, kalau boleh kita gantung operasi agar kita dapat menguruskan aliran tunai. Ada bisnes yang sudah negatif yang mempunyai hutang yang tak dijelaskan. Saya cadangkan buat surat permohonan untuk menjadualkan kembali pembayaran.

JANGAN BERHUTANG UNTUK BAYAR HUTANG Setuju atau tidak, kita tiada pilihan. Dalam waktu yang sama, jangan buat pinjaman untuk melangsaikan hutang. Contohnya kita pinjam ahlong dan saudara-mara semata-mata hendak bayar sewa atau gaji pekerja. Sebab bila pasaran dibuka, kita perlukan wang itu. Jadi saya cadangkan agar kita jangan buat pinjaman. Kalau kerajaan nak beri pinjaman, saya pun tak cadangkan ambil kerana ia mempunyai unsur riba yang tiada keberkatan. Bila tiada keberkatan ia tidak akan memperoleh nusrah ALLAH. Kelima, cari pelabur. Sekarang ini adalah waktu untuk sapa yang mempunyai dana yang cukup untuk bertahan. Inilah orang yang akan berkembang pesat apabila pasaran dibuka semula. Apa maksudnya? Banyak perniagaan yang dah tutup. Banyak bisnes yang terus tutup. Kalau pasaran dibuka, kebarangkalian untuk mereka dibuka semula memang mustahil.

BERSEDIAKAH JIKA PELAN INI LEWAT? Saya ragu-ragu siapa yang ada kebolehan untuk bertahan hingga pasaran dibuka semula mengikut pelan pemulihan negara iaitu November-Disember. Bila vaksin yang memerlukan dua dos ini baharulah dianggap sebagai vaksinasi lengkap, ia mengambil masa yang lama. Misalnya, saya mengambil dos AstraZeneca yang mempunyai tempoh 12 minggu di antara dos pertama dan dos kedua. Kalau kita ambil vaksin pada bulan Ogos, bulan Januari berikutnya baharulah lengkap dos kedua. Keadaan ini akan memaksa tempoh pemulihan dipanjangkan. Inilah yang saya risau. Kita dapat banyak juga tawaran-tawaran vaksin. Malah ada yang percuma. Pembekal vaksin pun lambat. Brainy Bunch juga telah memohon kepada Selangkah Selangor tetapi tiada maklumbalas. Cuma semalam, Menteri Khairy Jamaluddin berkata, Selangor akan capai vaksinasi 80 % pada September. Kalau Selangor dah ada, bukalah ekonomi Selangor. Itu adalah di antara cadangan dan pandangan . Mungkin ada kelemahan tetapi boleh dijadikan sebagai panduan kepada para usahawan yang lain. Akhir sekali saya nak sebut, bahawa inilah perjuangan yang kami buat di Kumpulan Malakat yang mana sistem yang bermasalah ini adalah kerana kita amalkan riba. Kita terlibat dalam sistem riba yang membelit leher kita semua hingga stres. Aliran tunai kita banyak pergi kepada pembayaran riba iaitu kepada bank. SEPAKAT BAGAI MUHAJIRIN DAN ANSAR Sebagaimana golongan Ansar dan Muhajirin bantu membantu, kita perlu menyertai jemaah. Insya-ALLAH saya nak lancarkan program usaha dalam Malakat Eco melalui plaform KoPPIM. Saya hanyalah penasihat KoPPIM yang berusaha membina ekosistem ekonomi Islam yang bebas riba. Jadi saya nak ajak tuan puan semua sertai jemaah Malakat. Jemaah Malakat mempunyai program yang boleh membantu. Syarat utama ialah menjadi ahli KoPPIM, mulai dengan RM130 sahaja. Minta tolong team kita sertakan borang permohonan sertai jemaah Malakat. Tuan puan letak nama, no telefon, jenis perniagaan dan bantuan yang diperlukan. Kita tak boleh bantu semua orang tapi berusaha membantu semua orang. Semua yang menyertai harus bersedia untuk berjuang membina ekosistem ekonomi Islam yang bebas riba dan berikan cadangan kepada kita. Ini adalah usaha kita. Kita merancang, ALLAH merancang. Tetapi yang lebih penting ialah ALLAH menilai apa yang kita buat. Tuan-tuan yang mulia, kita mulia kerana ALLAH beri Iman dan Islam kepada kita. Tetapi kemuliaan itu hanya terjadi jika kita satukan iman dengan kalimah Lailahailallah Muhamadarrasulullah sebagai titik penyatuan kita. Kita hendak jadi seperti jemaah Ansar dan Muhajirin. Jemaah Ansar sedia berkorban. Muhajirin ini adalah golongan yang tinggalkan segala-galanya. Ansar ini mempunyai kekayaan. Dalam masa ini kita perlukan golongan Ansar dan Muhajirin. Orang yang terkesan seolah-olah golongan Muhajirin sebab tiada banyak sumber. Di kalangan kita pula ada juga golongan Ansar. Dia tak terkesan dengan keadaan yang berlaku. Kita bukan hendak minta seperti golongan Ansar dahulu. Ansar dahulu bagi tanah, rumah dan harta. Kita mahu bantuan strategik untuk perniagaan. Jika sebelum ini kita beli barang dari syarikat yang besar, kini belilah barang dari syarikat yang kecil-kecil. USAHAWAN TIDAK BOLEH SENDIRIAN Masalah usahawan ini dia bersendirian, buat kerja seorang-seorang. Dia kurang dibantu kerajaan. Masyarakat pun hanya membantu sebagai pengguna. Staf usahawan sendiri pun tidak boleh membantu sangat. Usahawan ini kena fikir dari hujung ke pangkal. Saya hendak menjemput para usahawan kerana bantuan ALLAH ada pada jemaah. Ada orang buat bulatan, tribe dan group untuk bantu membantu.

PINDAH BELANJA UNTUK SALING MEMBANTU Kalau sebelum ini kita beli makanan dari pasaraya besar. Kini kita berhenti beli barang dari pasaraya besar,. Belilah di Malakat, contohnya. Kalau tak ada Malakat, kita pergilah ke halal mart dan sebagainya di kawasan kita. Ini akan membantu mereka hanya dengan memindah belanja dalam ekosistem ekonomi Islam. Kita usahakan insya-ALLAH. Semoga Dia terima usaha kita ini. Semoga kita diberi kefahaman dalam agama. Bila faham kita dapat berusaha dan bertindak selaras dengan apa yang ALLAH reda mengikut jalan Nabi saw. Matlamat kita ialah mengajak manusia taat kepada ALLAH ikut cara Rasulullah. Kejayaan hanya ada pada amalan agama yang sempurna.

WALAU APA PUN, BERSABARLAH… Bersabarlah semua para usahawan. Semoga ALLAH beri kita kekuatan. Tapi kita hanya kuat bila bersatu. Kalau kita sorang kita memang payah. Kalau kita daftar, kita boleh bincang berdasarkan pada borang yang disampaikan. Apa yang saya boleh cadangkan untuk bantuan tuan puan. Apa yang tuan puan ada insya-ALLAH kita boleh gunakan.

3 views0 comments

Recent Posts

See All